Monday, February 18, 2013

Imam-Imam yang Benar


Assalamualaikum wahai saudara-saudara seakidahku.Setelah sekian lama menyepi diri menjalani jadual dan ketetapan Allah ke atas diri ini, Alhamdulillah dengan izinnya dapat saya kembali meneruskan apa yang telah terhenti sekian lama. Pada kali ini hati saya tertarik untuk berkongsi kisah tentang para imam mazhab yang berempat. Semoga penulisan yang tidak seberapa ini dapat membawa manfaat kepada kita bersama hendaknya Inshaallah.


Mazhab Yang Empat


Empat Imam besar iaitu Imam Abu Hanifah (Imam Mazhab Hanafi), Imam Malik bin Anas (Imam Mazhab Maliki), Imam Muhammad bin Idris (Imam Mazhab Syafie) dan Imam Ahmad bin Hanbal (Imam Mazhab Hanbali) seharusnya diketahui sedikit sebanyak kisah dan sejarah hidupnya oleh kita sebagai umat Islam, terutama Ahli Sunnah Waljamaah. Andai nama para IMAM MUDA kita boleh hafal berserta dengan biodata hidup mereka sekali begitu juga nama dan kisah hidup para artis, apalah ruginya kita mengkaji serba sedikit tentang kisah dan sejarah hidup para insan pilihan Allah ini.

Empat org Imam Besar ini dikatakan menjadi terkemuka kerana mereka ULAMA BEBAS YANG TIDAK TERIKAT DENGAN SESIAPA dan TIDAK PULA BERASA TERHUTANG BUDI KEPADA PEMERINTAH. 

Walaupun berbeza Mazhab namun perbezaan pendapat antara mereka hanya berkisar dalam masalah furu' atau cabang hukum agama yang berhubung dengan urusan Muamalat, atau yang berkait dengan kepentingan masyarakat. Keempat mazhab tidak berselisih dalam urusan pokok agama kerana mereka tetap berpegang teguh kepada Al-Quran, Hadis, dan Sunnah RasulNya. Keempat imam besar ini sama-sama menentang amalan bidaah atau yang menyeleweng daripada ajaran Islam. Mereka juga tidak memaksa pengikutnya atau orang ramai supaya bertaklid buta yakni bertaklid kepada mazhab masing-masing tanpa menyelidik Nas yang diambil bagi merumuskan sesuatu fatwa atau masalah. Sebagai contohnya Imam Syafie menasihatkan para pengikutnya supaya tidak teragak-agak menolak pendapatnya jika ada Nas daripada Al-Quran atau Hadis yang sahih berlawanan dengan pendapatnya.

Timbulnya mazhab-mazhab itu apabila umat Islam tidak lagi berpegang teguh kepada Al-Quran dan Hadis pada masa itu. Maka tampil Imam Hanafi, Imam Maliki, Imam Syafie dan Imam Hanbali memimpin umat Islam. Kesemua mazhab besar ini berpegang kepada akidah AHLI SUNNAH WALJAMAAH.

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud, "Demi Allah yang jiwa Muhammad di tanganNya akan berfikrah umatku sebanyak 73 fikrah. Hanya satu akan masuk syurga dan yang lainnya masuk neraka. Sahabat bertanya siapakah itu wahai Rasulullah, baginda menjawab AHLI SUNNAH WALJAMAAH.


Antara Sebab Timbulnya Mazhab


Pada masa Nabi Muhammad S.A.W hidup tidak timbul perselisihan pendapat dikalangan umat Islam kerana boleh merujuk terus kepada baginda (siapa antara umat Islam yang berani pertikaikan apa yang keluar dari mulut Rasulullah S.A.W, jadi tak timbul la soal ada orang nak pertikaikan kesahihan pendapat itu kerana keluar TERUS dari seorang yang diutus Allah sebagai wakil dan utusannya untuk menyampaikan syariatNya, mungkin begitu pada pendapat saya).

Tetapi setelah baginda wafat pada 2 Rabiulawal tahun 11 Hijrah (8 Jun 632 Masihi), maka telah wujud pelbagai perbezaan pendapat di kalangan umat Islam. Bahkan akibat perbezaan pendapat itu telah tercetus peperangan seperti Perang Jamal dan Perang Siffin yang telah mengorbankan ramai umat Islam (perang saudara). Ekoran itu telah wujud kaum SYIAH dan KHAWARIJ. Kemudian muncul pula fahaman MUKTAZILAH yang diketuai oleh Washil bin Athak dan Umar bin Ubeid. Kemudian muncul pula fahaman Qadariyah dan Jabariyyah. (jangan ada yang keliru ye, Qadariyah ni lain dgn Qadiriyyah, tengok ejaan dia kalau nak bezakan.Qadiriyyah ni salah satu jalan/aliran Tarikat yg bersanadkan dan diasaskan oleh Syeikh Abdul Qadir Jailani, seorang Waliyullah dan Sultan Aulia terkenal, mohon jangan keliru ok)

Akhirnya muncul pula fahaman AHLI SUNNAH WALJAMAAH yang diketuai oleh Syeikh Abu Hasan Asyaari dan Syeikh Abu Mansur al Maturidi. Di bawah ni saya nyatakan sikit perbezaan fahaman-fahaman tersebut:

1. Kaum Syiah, kaum yang berlebih-lebihan memuja Saidina Ali bin Abi Talib. Malah dikatakan mereka tidak mengakui/mengiktiraf Khalifah Abu Bakar as Siddiq, Umar al-Khattab dan Uthman bin Affan R.A. Namun fahaman Syiah juga berpecah kepada 22 aliran.

2. Kaum Khawarij, kaum yang sangat membenci Saidina Ali bin Abi Talib, malah ada yang mengkafirkannya. Mereka sanggup membunuh Saidina Ali dan keluarganya. Mereka juga tidak sependapat dan berpecah kepada 20 aliran.

3. Kaum Muktazilah, kaum yang berfahaman bahawa tuhan tidak mempunyai sifat. Ada antara mereka mengatakan bahawa Al-Quran itu makhluk, bukan kalam Allah. Mereka berpendapat manusia berkuasa keatas diri mereka sendiri, tidak boleh melihat tuhan walau di dalam syurga. Mereka juga berpendapat bahawa syurga dan neraka serta penghuninya tidak kekal dan mereka juga mempertikaikan tentang peristiwa Israk dan Mikraj Rasulullah S.A.W. Fahaman Muktazilah juga berpecah kepada 20 aliran.

4. Kaum Murjiah, yang berpendapat bahawa sesiapa yang sudah Islam dan beriman jika melakukan maksiat tetap masuk syurga seperti orang kafir yang berbuat kebajikan tetap masuk neraka.

5. Kaum Najariyah, mereka berpendapat manusia melakukan perbuatan yang sudah ditentukan tuhan dan mereka mengatakan bahawa sifat tuhan tidak ada.

6. Kaum Jabariyah, mereka berpendapat untung nasib setiap manusia sudah ditentukan sejak azali lagi oleh itu manusia tidak mempunyai daya dan upaya untuk mengubahnya. (contoh yg saya faham dari hasil pembacaan saya dia orang ni percaya seseorang itu dah ditentukan tempat mereka di syurga atau neraka, jadi tak guna beramal lebih-lebih, Wallahualam).

7. Kaum Musyahibbah iaitu mereka yang berpendapat tuhan juga sifatnya seperti manusia ada tangan, kaki, duduk di atas kursi dan sering naik turun antara langit dan bumi. (ni mungkin berdasarkan pada firman Allah yg mengatakan Dia menciptakan Adam dgn 'tangannya' sendiri).So mungkin puak2 ni salah faham, kalau ikut pandangan Ahli Sunnah Waljamaah 'tangan' itu ditafsirkan kepada 'kekuasaan'.Sebab kita dilarang sama sekali membayangkan sifat, zat dan perlakuan Allah secara melampau kerana itu diluar kemampuan fikiran kita. Kerana sesungguhnya Allah itu berbuat sesuatu mengikut kehendakNya, hak Nya lah semua perbuatan, keputusan, segala aturan yang terjadi di langit dan dibumi. Kerana itu termasuk dalam rahsia-rahsia Allah dan perkara ghaib yang diluar kemampuan berfikir makhluk. Tentang sifat itu bermaksud sifat fizikal contohnya kalau manusia sifat fizikalnya ada kaki, ada hidung, tinggi, rendah, kurus dan sebagainya. Kalau Sifat 20 yakni Sifat Wajib, Sifat Mustahil dan Sifat Harus bagi Allah kita digalakkan dan wajib bagi kita untuk mempelajarinya sebagai seorang muslim.

Sekian saja dulu buat kali ni untuk pengenalan sejarah Imam-imam mazhab yang berempat. Inshaallah pada penulisan yang akan datang saya akan menyentuh sedikit sebanyak tentang sejarah hidup, keperibadian, dan kisah teladan yang dapat diambil dari Imam-imam besar ini. Jika ada kesalahan mohon beri teguran dan nasihat membina dengan tujuan untuk mencari kebenaran.Sekian dulu, wabillahi taufik wal hidayah assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

* Diakhir penulisan saya yang berkaitan Imam-imam Mazhab ini akan saya sertakan sumber rujukan saya dalam menulis artikel-artikel ini untuk perkongsian bersama.