Thursday, November 11, 2010

Perayaan Bukan Islam:Patutkah Kita Menyambutnya?







Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Dewasa ini kita sering mendengar pihak-pihak tertentu melaungkan slogan-slogan yang berbentuk penyatuan bangsa-bangsa di atas tiket satu negara (yang mana saya kira tidaklah bertentangan dengan hukum syarak, jika nawaitu sekadar hendak memastikan kerukunan dan kestabilan sesebuah negara).Seperti juga kebanyakan negara lain yang mempunyai berbilang bangsa, agama dan budaya, rakyat Malaysia turut menyambut pelbagai jenis perayaan.Tapi kita perlu ingat sebagai seorang mukmin, ada had dan garis panduan yang perlu kita patuhi di dalam kesibukan kita melaungkan slogan 'Satu Malaysia' ini.


Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam dalam muzakarahnya pada 1 dan 2 Oktober 1970 yang secara khusus menyentuh mengenai rumah ibadat telah memutuskan;

“Pembesar-pembesar Islam tidak boleh merasmi pembukaan rumah-rumah ibadat orang-orang bukan Islam kecuali difikirkan kalau tidak berbuat demikian akan mendatangkan perpecahan dan permusuhan kaum dengan syarat tidak menyertai upacara ibadat dengan mereka."


Pada dasarnya terdapat dua pandangan berbeza dari sudut hukum tentang orang Islam turut merayakan hari perayaan orang bukan Islam. Pandangan yang membenarkan orang Islam merayakan hari perayaan orang Islam adalah berdasarkan pandangan berikut:


i. Kekeliruan dari sudut hukum tentang merayakan hari perayaan agama lain atau dalan konteks masa kini “rumah terbuka nasional” adalah berpunca daripada fahaman yang kurang jelas terhadap maksud merayakan atau mengucapkan ucapan selamat hari kebesaran kaum lain itu. Jika maksud merayakan itu adalah ikut serta berhari raya, merelai kekufuran orang bukan Islam dan bermuamalah dengan mereka atas nama agama mereka ia adalah bercanggah dengan ajaran Islam.

Sebaliknya jika merayakan hari perayaan kaum lain sekadar hanya ikut bercuti pada hari itu atau menyertai perayaan mereka atas tujuan merapatkan perhubungan sesama manusia maka ia adalah diluar daripada konteks meraikan akidah mereka atau merelakan agama mereka. (Hukum Merayakan Perayaan Kaum-kaum Bukan Islam, Dr. Abdul Hayei bin Syukor, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya)



ii. Menurut Dr. Ahmad al-Syarbashi seseorang Islam yang turut menyertai hari perayaan orang bukan Islam setelah memastikan majlis yang dihadiri itu tidak mengandungi perbuatan yang bercanggah dengan akidah atau upacara yang bercanggah dengan ajaran Islam seperti penyajian arak dan sebagainya (Dr Ahmad al-Syarbashi, Yas`alunaka Fid Din Walhayah, hal 390, jilid 4, Darul Jail, Beirut).


Manakala Hukum yang melarang orang Islam turut merayakan perayaan orang bukan Islam berdasarkan pandangan berikut:


i. Abu al-Qasim Hibbatullah bin Al-Hussain bin Mansur al-Tabari berkata, tidak harus bagi orang Islam menghadiri perayaan orang bukan Islam kerana kemungkaran mereka. (Ibn Qayyim Al-Jauziyah, Ahkam Ahl al-Zimmah, jilid 1, hal 156, Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut)


ii. Menurut Fatwa Lajnah Daaimah, kunjungan terhadap perayaan orang bukan Islam tidak boleh dilakukan kerana ia akan melibatkan orang yang melakukannya kepada dosa. (al-Syeikh Ahmad bin Abdul Razak, Fatawa al-Lujnah al-Da`imah lil Buhuth al-Ilmiah wal Ifta`, jilid 3, hal 436, Dar al-Muaiyyad, Riyadh)


Namun begitu setelah membaca beberapa artikel dan pelbagai pendapat beberapa ilmuan Islam, pada pandangan saya (sekadar pendangan peribadi , tidak semestinya tepat) kita boleh menghadiri jemputan perayaan orang bukan Islam namun ada garis panduan yang perlu kita tepati, antaranya:


Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam.
Maksud “bertentangan dengan akidah Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan menyebabkan tercemarnya akidah umat Islam.



Contohnya:

i. menyertakan simbul-simbul agama seperti salib, memasang lampu, lilin, pokok krismas dan sebagainya.

ii. menyanyikan lagu-lagu bercirikan agama.

iii. meletakkan apa-apa tanda bercirikan agama pada dahi, atau tanda-tanda lain pada anggota tubuh.

iv. memberikan ucapan atau isyarat yang berbentuk pujian kepada agama orang bukan Islam.

v. tunduk atau melakukan perbuatan seolah-olah menghormati upacara agama orang bukan Islam.



Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak.Maksud “bertentangan dengan syarak” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan ajaran Islam yang diamalkan oleh masyarakat Islam.


Contohnya:

i. Memakai pakaian bewarna merah seperti santa claus atau pakaian lain yang melambangkan agama

ii. Menghidangkan minuman atau makanan yang memabukkan dan seumpamanya

iii. Mengadakan bunyi-bunyian atau hiasan seperti loceng gereja, pokok krismas, kuil atau memecah kelapa

iv. Mengadakan acara yang berunsur perjudian, penyembahan, pemujaan, khurafat dan sebagainya.



Majlis tersebut tidak disertakan dengan “perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” di negara ini.Maksud “bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan nilai dan norma kehidupan masyarakat Islam Negara ini yang berpegang kepada ajaran Islam berdasarkan ahli sunnah wal jamaah.


Contohnya:

i. Percampuran bebas tanpa batas dan adab sopan

ii. Berpakaian yang menjolok mata

iii. Mendendangkan lagu-lagu yang mempunyai senikata berunsur lucah serta pemujaan;

iv. Mengadakan program seperti pertandingan ratu cantik, laga ayam dan sebagainya.
Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam”.Maksud “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan menyingung perasaan umat Islam tentang kepercayaan dan amalan mereka.


Contohnya:

i. Ucapan-ucapan atau nyanyian berbentuk dakyah keagamaan bukan Islam

ii. Ucapan-ucapan yang menghina umat Islam

iii. Ucapan-ucapan yang menghina agama Islam

iv. Persembahan yang bertujuan mempersendakan pegangan agama masyarakat Islam.

Sabda Rasulullah S.A.W:


من تشبه بقوم فهو منهم     

“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia termasuk dalam kaum tersebut.”
                                                                                                                                       ( Riwayat Abu Daud)


من عمل عملا ليس عليه أمرنا فهو مردود

“Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia akan ditolak.”
                                                                                                                                       (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kesimpulan yang dapat kita rumuskan disini, kita dibolehkan sekadar 'meraikan' perayaan sahabat handal dari kalangan bukan Islam dan saya tidak langsung bermaksud kita perlu BAN atau ANTI kepada sambutan perayaan mereka, TIDAK SAMA SEKALI kerana agama Islam tidak mengajar kepada permusuhan kaum, sedangkan negara Islam Madinah suatu ketika dulu berdiri di atas dua agama dan bangsa yang berbeza yakni Islam (ansar dan muhajirin) dan kaum yahudi ketika itu.Apa yang saya mahu kemukan kan disini ialah setiap perkara yang kita lakukan, perlulah berpada-pada dan jangan lari dari landasan Islam sebenar.Perlu diingat dalam Islam dianjurkan perpaduan tetapi ada batasannya, tidaklah sampai mencemarkan 'roh' Islam itu sendiri.Wallahualam.
Sehingga bertemu lagi, Wassalam.

Sumber rujukan:
al-Syeikh Ahmad bin Abdul Razak, Fatawa al-Lujnah al-Da`imah lil Buhuth al-Ilmiah wal Ifta`, jilid 3, hal 436, Dar al-Muaiyyad, Riyadh)
Ibn Qayyim Al-Jauziyah, Ahkam Ahl al-Zimmah, jilid 1, hal 156, Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut
Dr Ahmad al-Syarbashi, Yas`alunaka Fid Din Walhayah, hal 390, jilid 4, Darul Jail, Beirut
Hukum Merayakan Perayaan Kaum-kaum Bukan Islam, Dr. Abdul Hayei bin Syukor, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya



No comments:

Post a Comment