“Ya Rasulullah, Izinkan Aku Berzina!”
“Ya Rasulullah, Izinkan Aku Berzina!”
Kata-kata ini pernah dilafazkan oleh salah seorang pemuda kepada Rasulullah saw memohon izin untuk melakukan zina. Namun apakah yang dilakukan oleh Rasulullah saw?. Baginda tidak mengherdik atau memarahinya malah menalarang para sahabat yang cuba untuk mengambil tindakan ke atas pemuda itu. Rasulullah saw menggunakan pendekatan berhikmah untuk menyedarkan pemuda itu. Cara yang bagaimana? Perhatikan hadis tersebut untuk menemui jawapannya.
Abu Umamah al-Bahili meriwayatkan :
Sesungguhnya seorang pemuda datang kepada Rasulullah saw dan berkata : Wahai Rasulullah saw : Izinkan aku berzina. Maka tampil kaum untuk menghalangnya dan mereka berkata : biarkan biarkan ( aku memukulnya). Nabi saw bersabda : Dekatkan dia kepadaku maka dia pun menghampiri dan duduk dekat Nabi saw.
Nabi saw bersabda : Adakah kamu mahu itu berlaku kepada anak perempuanmu?. Pemuda itu menjawab : Tidak. Demi Allah wahai Rasulullah ,semoga Allah menjadikan aku sebagai tebusanmu. Nabi bersabda : Tiada manusia yang menyukai itu berlaku kepada anak-anak perempuan mereka.
Nabi saw bersabda : Adakah kamu mahu itu berlaku kepada saudara perempuanmu?. Pemuda itu menjawab : Tidak. Demi Allah wahai Rasulullah ,semoga Allah menjadikan aku sebagai tebusanmu. Nabi bersabda : Tiada manusia yang menyukai itu berlaku kepada saudara-saudara perempuan mereka.
Nabi saw bersabda : Adakah kamu mahu itu berlaku kepada ibu saudaramu?. Pemuda itu menjawab : Tidak. Demi Allah wahai Rasulullah ,semoga Allah menjadikan aku sebagai tebusanmu. Nabi bersabda : Tiada manusia yang menyukai itu berlaku kepada ibu-ibu saudara mereka.
Kemudian Rasulullah saw meletakkan tangannya ke atas pemuda itu dan berkata : Ya Allah, ampunkanlah dosanya,bersihkanlah hatinya dan peliharalah kemaluannya. Maka selepas itu pemuda itu langsung tidak berpaling kepada sesuatu. ( Riwayat Imam Ahmad dan al-Tabaraniy. Disahihkan oleh al-Albaniy dan al-Wadi’iy)
Rasulullah saw tidak bertindak kasar terhadap lelaki itu walaupun permintaannya untuk berzina merupakan satu perbuatan yang biadap dan melampau sehingga para sahabat ingin bertindak terhadapnya.
Rasulullah saw mengambil pendekatan cara lembut dan berhikmah iaitu cara perbandingan sekiranya amalan keji itu berlaku kepada ibu, anak perempuan atau saudara perempuannya yang dizina oleh lelaki lain. Ternyata tiada sesiapa pun menghendaki perkara itu berlaku kepada ahli keluarganya.
Di akhir hadis Rasulullah saw berdoa untuknya sehingga lelaki itu bertaubat dan tidak melakukan perkara yang diharamkan berkat doa Nabi saw dan petunjuk dari Allah SWT.
Pengajaran :
1- Zina merupakan dosa yang amat besar dan dikeji dalam Islam.
2- Berdakwahlah secara bijaksana dan berhikmah.
3- Tiada siapa yang menghendaki zina berlaku kepada ahli keluarganya.
4- Digalakkan berdoa kebaikan untuk orang lain.
Semoga Allah SWT memelihara diri kita dan anak keturunan kita semua dari perbuatan zina.
alan.. takdak dapat baca habis... tepi dia tu tak nampak ayat apa...
ReplyDelete